Tuesday, April 1, 2008

Setuju jadi Pakatan Rakyat


PENASIHAT Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengadakan pertemuan di Petaling Jaya, semalam, untuk menubuhkan gabungan Pakatan Rakyat bagi menggambarkan kerjasama antara ketiga-tiga parti itu.

DAP, Pas, PKR bentuk gabungan untuk selaras dasar kerajaan di lima negeri

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas bersetuju menubuhkan gabungan yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat bagi menggambarkan kerjasama antara ketiga-tiga parti itu.

Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat antara Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di pejabat Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini semalam.


Pemimpin ketiga-tiga parti itu, dalam kenyataan bersama, menjelaskan semua negeri di bawah kerajaan campuran PKR, DAP dan Pas akan melaksanakan dasar yang selari dengan Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, nama Pakatan Rakyat yang dicadangkan itu akan disahkan selepas mendapat persetujuan parti masing-masing.

Anwar pada sidang akhbarnya pula berkata, pakatan itu akan dipimpin dan bekerja mengikut prinsip bersama seperti yang dinyatakan dalam manifesto parti masing-masing.

No comments: