Thursday, April 3, 2008

Bunyamin, Baddrol ke Chelsea

KUALA LUMPUR – Dua pemain bola sepak kebangsaan yang berasal dari Kedah, Baddrol Bakhtiar dan Bunyamin Umar diberi penghormatan untuk mengembangkan bakat mereka ke Chelsea bagi menjalani latihan dari 6 hingga 21 April ini, lapor FERZALFIE FAUZI.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia, Lt. Jen. (B) Datuk Azzuddin Ahmad berkata, kedua-dua pemain muda itu sepatutnya berlepas ke Chelsea tahun lalu tetapi atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, pemergian mereka ke kelab itu dilakukan tahun ini.

“Disebabkan jadual liga tempatan yang ketat, kedua-dua pemain itu terpaksa menunggu sehingga tahun ini untuk menimba ilmu bola sepak di sana. Apabila mendapat pengesahan dari kelab Chelsea barulah kedua-dua pemain itu diberi lampu hijau dan diatur oleh promoter Kejohanan Piala Juara-Juara Belia (CYC), Gifted Group.

“Pemilihan kedua-dua pemain itu juga berdasarkan prestasi hebat mereka dalam CYC, di mana kedua-dua pemain itu menepati hasrat sebagai pemain yang paling layak,” kata Azzuddin ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Tambah beliau, mutu permainan kedua-dua pemain itu bukan sahaja hebat setakat kejohanan tersebut tetapi berterusan sehingga hari ini malah semakin meningkat dalam setiap perlawanan.

Bunyamin, 20, dari Sik, Kedah sekarang beraksi dengan UPB-MyTeam dan pernah membantu Kedah menjuarai tiga kejohanan piala musim lalu, manakala Baddrol, 20, masih lagi bermain dengan pasukan Kedah.

Kedua-dua pemain itu menunjukkan prestasi cemerlang dalam kejohanan CYC dengan Bunyamin menjadi tonggak penting di bahagian tengah sementara Baddrol pula menjadi penyerang utama skuad pimpinan Roberts Alberts itu.

Sementara itu, jurulatih bola sepak Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah berkata, dia amat menyokong penuh pemilihan kedua-dua pemain itu yang pernah berada di bawah bimbingannya.

“Walaupun pemilihan dia (Baddrol Bakhtiar) sedikit mengganggu percaturan saya untuk menamatkan kempen Liga Super dan Piala FA tetapi saya amat mengalu-alukannya termasuk Bunyamin, yang membantu Kedah memenangi tiga kejohanan piala musim lepas,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Jelasnya, ia satu perkembangan yang positif terutamanya kepada pemain, khususnya kepada mereka yang berasal dari Kedah sendiri.

“Tidak keterlaluan saya katakan ia adalah satu penghormatan kepada rakyat negeri Kedah dan saya berharap akan lebih ramai lagi pemain Kedah mengikut jejak langkah mereka dipilih bermain dan berlatih di Eropah,’’ kata Azraai.

Kejohanan edisi kedua CYC akan bermula 12 Ogos ini dengan 16 pasukan dari kelab ternama benua Eropah dan Amerika Selatan akan mengambil bahagian.

No comments: