Sunday, April 6, 2008

Nik Aziz selar Karpal Singh

KOTA BHARU 6 April - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyelar Pengerusi DAP, Karpal Singh yang dianggap tidak layak mengeluarkan kenyataan supaya Pas jangan memasang angan-angan untuk menjadi tunjang Pakatan Rakyat.

Beliau yang menyifatkan Karpal tidak memahami dasar Islam sebenar dalam nada sinis meminta pemimpin itu datang ke negeri ini dan melihat sendiri pentabdiran Islam yang dilaksanakan oleh kerajaan Pas di bawah pimpinannya sebelum menolak cadangan parti tersebut.

Pada masa yang sama, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan meminta Karpal Singh memberikan bukti di mana kelemahan Pas yang telah mentadbir Kelantan mengikut acuan Islam selama 18 tahun itu.

"Saya nak tahu sangat apa benda yang dia (Karpal) tidak setuju dengan Islam, kalau dia sebut dalam 10-15 tahun dulu boleh jadi betul, saya fikir dia masih terpengaruh dengan zaman Inggeris ketika orang mempergunakan Islam.

"Mudah-mudahan fikiran mereka berubah, kalau boleh dia (Karpal) datang ke Kelantan, saya tanggung hotel semua sekali, tetapi tambang bayar sendirilah kerana saya hendak dia tengok sendiri keadaan di Kelantan.

"Kalau datang tidak payah jumpa saya, boleh jumpa orang Cina dan India di Kelantan untuk mendapat maklum balas, kenapa dia tidak terima Islam, saya pun tidak faham, apa benda yang cacatnya Islam di Kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menerima lawatan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Masahiko Horie di pejabatnya di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Karpal meminta Pas jangan memasang angan-angan tinggi untuk menunjangi PR bagi merealisasikan impian penubuhan sebuah negara Islam.

Pemimpin veteran pembangkang yang pernah membuat kenyataan menolak penubuhan negara Islam pada 1990 itu mahu Pas lebih realistik bahawa prinsip perjuangan parti itu mustahil untuk dilaksanakan di negara ini.

Rabu lalu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, Pas wajar menjadi tunjang kepada gagasan Pakatan Rakat yang akan dibentuk oleh parti-parti pembangkang sekiranya mahu merealisasikan impian menubuhkan sebuah negara Islam.

Nik Abdul Aziz seterusnya menambah, Kelantan telah menunjukkan contoh yang terbaik tentang konsep negara Islam dan tidak ada sebab DAP menolaknya.

"Kami tidak paksa orang bukan Islam masuk Islam, ramai yang bukan Islam sokong Pas kerana kami lantik mereka jadi penghulu dan penyelia bagi mewakili rakyat mereka, orang Cina, Siam dan Orang Asli pun kita lantik.

"Kami haramkan riba yang diterima baik oleh ahli ekonomi seluruh dunia, riba memusnahkan orang miskin, yang kaya makin kaya, yang miskin makin melarat," katanya.

Tambahnya, Pas juga memberi peluang kepada wanita untuk bekerja, tetapi mesti menutup aurat kerana ia penting untuk mengurangkan keruntuhan akhlak dan kesemua ini dibuat bagi kebaikan semua pihak.

Mengulas kunjungan Horie itu, Nik Aziz berkata, duta itu tertarik dengan kerajinan wanita negeri ini mencari nafkah yang berbeza di tempat lain.

"Saya jemput duta itu untuk melawat Pasar Besar Siti Khadijah dan Pasar Borong Wakaf Che Yeh untuk melihat dari dekat kerajinan wanita Kelantan ini," katanya.

No comments: