Thursday, April 3, 2008

Mampat sokong boikot barangan Belanda

KUALA TERENGGANU, 4 April (Hrkh) - Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) melahirkan rasa dukacita dan kesal dengan tindakan penyiaran Filem 'Fitna' menerusi laman Liveleak yang dilakukan oleh seorang Ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders pada 27 Mac 2008 lalu.

ImagePengerusinya, Mohamad Fauzi Abu Sanah berkata, filem tersebut secara jelas dan terang telah cuba mengaitkan Islam dengan keganasan.

Ini katanya, merupakan suatu fitnah terhadap Agama Islam bilamana ayat-ayat al-Quran yang digunakan sebagai rujukan dalam filem tersebut tidak digunakan secara tepat, hanya separuh serta menyebabkan maksud asal ayat berkenaan tidak dapat dicapai.

"Kita (Mampat) melihat perbuatan ini disengajakan untuk mengelirukan mereka yang tidak mengenali Islam. Kekeliruan yang ditimbulkan itu bagi menakut-nakutkan golongan bukan Islam mendekati Islam,"ujarnya kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau turut melahirkan rasa kebimbangan jika berlaku sebarang keganasan di atas penyiaran filem yang berunsur fitnah tersebut.

Justeru itu, katanya Mampat menyokong penuh tindakan serta saranan memboikot terhadap semua barangan Belanda bagi memberi tekanan secara langsung dari umat Islam di seluruh dunia.

Menurutnya, umat Islam tidak boleh bertolak ansur dengan perbuatan golongan yang melampau itu.

"Untuk itu, Kita (Mampat) harap rakyat akan menggunakan slogan 'Katakan Tidak Kepada Belanda' atau 'Say No to Holland'," ujarnya.

No comments: