KUALA LUMPUR, 1 Apr (Hrkh) - Semua rakyat Malaysia yang cintakan kehidupan bersama yang aman dan harmoni hendaklah bersama-sama memboikot pihak yang suka mencetuskan api permusuhan, kata Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar.
Beliau berkata demikian ketika mengukuhkan cadangan supaya diboikot barangan dari Belanda berikutan tindakan ahli parlimen negara itu, Geert Wilders menyiarkan filem yang mengkritik Al-Quran, , Fitna, di dalam laman webnya mulai 27 Mac lalu.
Barangan dari German pula digesa diboikot sebaik sahaja negara itu menghalalkan pementasan Satanic Verses di teater Hans Otto, Potsdam, salah sebuah bandar dalam negara itu.
Isyarat tegas
"Semua pihak, tanpa mengira bangsa dan agama, yang mencintai kehidupan bersama yang harmoni mestilah memberi isyarat yang tegas dan jelas bahawa mereka tidak mahu lagi menerima apa jua bentuk penghinaan ke atas mana-mana pihak," kata Mahfuz.
Di samping meminta para ilmuan Islam memberikan penjelasan mengenai ayat-ayat al-Quran yang difitnahkan itu, beliau berkata, tindakan semua pihak memboikot barangan dan perkhidmatan mereka yang mencetuskan permusuhan adalah sangat penting.
"Buktikan kepada penyembah-penyembah permusuhan yang memperalatkan kebebasan bersuara itu bahawa kita mahu hidup dalam harmoni. Kita tak mahu sakitkan hati antara satu sama lain.
"Kita mesti beri signal yang jelas dan tegas dengan memboikot barangan dan perkhidmatan mereka yang mencetus permusuhan dan menyokong tindakan mencetuskan permusuhan," tegas beliau.
Umat Islam, katanya, mempunyai kewajipan untuk menentang cercaan ke atas agama mereka.
"Bukan itu sahaja, kita juga mesti menentang cercaan ke atas agama lain kerana itulah ajaran Islam kepada kita," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
No comments:
Post a Comment