Selepas enak berada di kerusi empuk bertahun-tahun lamanya, kini Khir Toyo mula merasai ‘keenakannya’ berada di ‘kerusi kayu’ pula. Sama ada Khir Toyo boleh terus kekal mengharungi cabaran dalam dunia barunya itu hanya masa yang menentukan, cuma agak lucu bila dibayangkan bagaimana seorang bekas Menteri Besar sebuah negeri termaju di Malaysia tiba-tiba terpikat hendak masuk dalam kumpulan ’syok sendiri’ (menurut Menteri Pelancongan, Dato’ Azalina Said).
Mudah-mudahan Khir tidak akan syok sendiri dalam dunia barunya itu. Jika meneliti kenyataan beliau ketika ditanya mengenai laman blog yang diciptanya jelas sekali Khir tidak syok sendiri.
Beliau berhasrat menjadikan blog berkenaan sebagai salah satu saluran beliau untuk menyuarakan pandangannya terhadap pentadbiran baru kerajaan negeri di bawah Barian Rakyat pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Dalam kata-kata aluannya Khir berkata: “Ia akan menjadi wadah untuk saya berkomunikasi dengan pembaca khusus dalam isu-isu politik dan sosial. Saya akan memanfaatkan blog ini untuk berbicara mengenai masa depan negara dan perjuangan Umno sebagai wadah politik kita.”
Nampaknya Khir memang serius. Ternyata hasrat Khir mendapat maklum balas yang hangat. Setakat saya menulis artikel ini (11.30 pagi) terdapat 247 komen terhadap posting pertama beliau bertajuk “Wadah sebuah perjuangan itu“.
No comments:
Post a Comment